Sunday, April 5, 2020

NOTA CINTA AKAN NEGARA

CUT and PASTE DALAM BUKU NOTA MORAL
Usaha Meningkatkan Sikap Cinta akan Negara Dalam Golongan Muda
Dasawarsa ini, sikap kasih dan sayang akan negara sudah semakin menghilang dan luntur dalam golongan marhaen di setiap pelusuk empat penjuru dunia. Hal ini demikian kerana sikap moral ini kurang dititik beratkan dalam urusan seharian mereka sama ada di bangku persekolahan mahupun yang sudah bekerja sehingga mereka sendiri kurang arif tentang sejarah-sejarah negara yang mereka huni. Ada di antara mereka yang alpa akan keseronokan dunia sehingga mereka tidak menghiraukan semangat patriotik dan langsung tidak melahirkan rasa semangat untuk melaungkan “ Aku Cintakan Malaysia”. Paling merunsingkan lagi, ada dalam kalangan rakyat yang langsung tidak mahu menyambut Hari Kebangsaan dan merasakan perkara seperti mengibarkan jalur gemilang tersebut hanya membuang masa mereka. Oleh hal yang demikian, usaha dalam menitik beratkan semangat patriotik ini perlu ditingkatkan oleh pelbagai pihak demi Malaysia yang tersayang.
            Pertama sekali, antara usaha yang boleh dilaksanakan bagi menaikkan semangat sayang akan negara dalam kalangan masyarakat ialah kerajaan perlu menyelaraskan silibus kelas moral dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah rendah lagi. Hal ini kerana, sikap sayang akan negara adalah salah satu sikap yang amat penting dalam diri setiap penghuni negara dan perlulah dicorak dalam diri masyarakat sejak kecil lagi agar sikap patriotik ini terus bersemadi dalam diri mereka hingga ke akhir hayat. Peribahasa melayu ada menyatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika masyarakat sudah dididik daripada bangku persekolahan betapa pentingnya sikap sayangkan negara, pasti perkara-perkara yang bakal merendahkan martabat Malaysia di mata dunia tidak akan dilakukan. Oleh itu, kerajaan perlu bersinergi bagi merealisasikan usaha dalam meningkatkan sikap sayangkan negara demi kelestarian hidup berbilang kaum di negara ini.
            Selain itu, para pendidik juga memainkan peranan penting dalam mencorak sikap patriotisme dalam kalangan pelajar demi melahirkan masyarakat yang sangat cinta akan negara. Pengajar perlu memberi penekanan yang agak kritikal mengenai sikap patriotisme sewaktu sesi pengajaran di sekolah mahupun kelas. Kaedah ni dapat menggalakkan pelajar-pelajar untuk terus mempraktikkan dan memahami sikap semangat cinta akan negara sehingga mereka dewasa. Tamsilnya, para pengajar juga boleh mengadakan ujian formal di dalam kelas bagi sesuatu topik yang mempunyai kaitan dengan negara kita bagi melihat sejauh mana mereka tahu tentang negara Malaysia yang tercinta. Dengan ini, para pelajar akan sedar dan sedikit sebanyak cuba mendalami isi kandungan negara kita, dan secara tidak langsung dapat menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan mereka supaya adat sayang akan negara ini tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Oleh hal yang demikian, pendidik perlulah mengambil inisiatif dalam meningkatkan semangat patriotisme demi melahirkan pelajar yang cemerlang sahsiahnya dalam membangunkan malaysia kelak. 
         Seterusnya, media massa juga bertanggungjawab dalam menggiatkan kempen dengan menayangkan iklan-iklan tentang pentingnya semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat agar rasa sayang tersebut tidak sirna ditelan zaman. Pada zaman moden kini, mata masyarakat lebih tertumpu ke skrin telefon pintar dan juga muka televisyen. Oleh itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu mengambil langkah bijak dan berkesan bagi menggiat dan menyiarkan sebanyak mungkin kempen seperti “Aku Negaraku Sedunia” ataupun poster bagi menyuburkan sifat patriotisme ini dalam diri mereka. Sebagai contoh, media massa perlu sentiasa menayangkan filem-filem yang menonjolkan kesungguhan dalam menyelamatkan negara daripada pihak musuh seperti “ Kapten Hassan” dan terbaru filem “Paskal” yang boleh memberi impak kepada masyarakat zaman kini. Konklusinya media massa memainkan peranan penting dalam melahirkan masyarakat yang cinta akan tanah air.
            Dalam kita sedar ataupun tidak, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mencorakkan dan menanam sikap patriotisme dalam diri anak-anak mereka. Anak adalah seperti kain putih, ibu bapalah yang patut mencorakkannya. Ibu bapa adalah contoh teladan kepada anak- anak sejak mereka lahir ke dunia kerana peribadi anak-anak melambangkan sikap ibu bapa mereka kerana peribahasa ada menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka untuk mengikuti aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan untuk menanamkan sikap patriotisme tersebut di dalam hati mereka. Ibu bapa juga boleh membeli buku-buku yang menceritakan tentang pemimpin-peminpin negara tanpa mengira bangsa dan agama. Dengan itu anak- anak akan menjadi masyarakat yang mampu mencontohi pemimpin-pemimpin terdahulu untuk menjadi bangsa yang berjaya. Jelaslah bahawa ibu bapa mampu menanamkan sikap cinta akan negara dalam diri anak-anak mereka supaya menjadi pemuda-pemudi harapan bangsa.
           Secara holistiknya, masyarakat yang mempunyai semangat yang tinggi untuk memperjuangkan tanah airnya akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemajuan negara supaya duduk sama rendah, tegak sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Oleh itu, pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing demi memastikan sifat patriotisme ini sentiasa dipupuk demi melahirkan masyarakat yang berjiwa murni.

No comments:

Post a Comment